Mari Mengenali Dim Sum Halal

Dim Sum adalah salah satu bahagian penting dalam budaya Cina. Ia adalah suatu istilah dalam sebutan Bahasa Kantonis bagi masakan Cina yang bermaksud kudapan ataupun makanan ringan. Ia seringkali dipadankan dengan meminum teh. Aktiviti meminum teh berserta memakan kudapan dikenali sebagai Yum Cha. Mari kita menyusuri sejarah untuk mengenali asal usul Dim Sum Halal.

Dim Sum dikatakan berasal daripada wilayah Guangdong iaitu sebuah wilayah di Tenggara China yang dahulunya juga dikenali sebagai Canton oleh pedagang asing yang singgah berdagang di situ. Daripada perkataan Canton itu terbitlah istilah Kantonis iaitu merujuk kepada gaya bahasa, orang dan perkara-perkara yang berkaitan dengan hal setempat di wilayah tersebut. Guangdong adalah antara wilayah yang paling pesat ekonominya di China. Dahulunya, Hong Kong dan Makau juga adalah sebahagian daripada Guangdong sebelum menjadi wilayah SAR.

Ada juga pendapat mengatakan bahawa Dim Sum ini berasal daripada Utara China dan telah wujud beribu-ribu tahun dahulu lagi. Kebenaran asal-usulnya tidak diketahui. Namun, apa yang pasti, memang terdapat pelbagai versinya yang tersendiri daripada seluruh ceruk negara China. Sebenarnya di China sendiri pun, ada juga komuniti kecil penganut ajaran Islam yang telah lama mencetuskan permintaan untuk Dim Sum Halal dan telah mencipta sendiri resipi halal mereka. Dan ada juga beberapa jenis hidangan daripada Dim Sum itu yang mempunyai kesamaan dengan hidangan daripada negara-negara lain. Contohnya, Ladu atau Gao mempunyai hidangan yang agak serupa daripada segi bentuknya dengan kudapan di India yang dipanggil Momo dan Buuz daripada Mongolia. Selain itu, Jiaozi pula agak sama dengan hidangan Mandu daripada Korea. Di Eropah juga ada hidangan pasta yang menyerupai salah satu daripada hidangan Dim Sum iaitu pasta Ravioli daripada Itali.

Sejajar dengan kepesatan ekonomi bertaraf dunia antara negara China dengan negara-negara luar, pelbagai budaya Cina termasuk Dim Sum juga menjadi semakin dikenali di seluruh dunia. Ditambah pula, terdapat ramai rakyat China yang berhijrah ke luar negara dan mereka sentiasa berusaha mengekalkan identiti dan budaya mereka walaupun di negara asing serta telah memperkenalkan budaya serta makanan mereka ke pentas dunia. Sebut sahaja Chinatown, pastinya ianya wujud di setiap negara yang menjadi tumpuan ramai. Chinatown bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan komuniti Cina itu sendiri di kalangan mereka di negara-negara luar yang mereka diami, tetapi juga telah menjadi suatu bentuk promosi akan budaya Cina kepada penduduk tempatan.

Dim Sum menjadi agak terkenal kerana hidangan-hidangannya mempunyai rasa yang sederhana, tidak terlalu penuh dengan rempah ratus yang kurang dikenali dan tidak terlalu asing dengan citarasa semua orang. Kebanyakannya adalah dalam bentuk pastri kecil berinti yang dikukus. Namun ada juga yang digoreng celur, direbus mahupun dibakar.

Seperti kebanyakan hal lainnya berkaitan dengan hidup berhijrah, pastinya akan berlaku proses persetempatan, lebih-lebih lagi jika berkaitan dengan soal makanan. Sama ada disebabkan sumber bahan-bahan yang sukar didapatkan atau pun adat, budaya mahupun agama di suatu negara itu. Sebagai contoh, di Malaysia, hampir 70% daripada penduduknya terdiri daripada orang Melayu Islam. Maka, bagi kebanyakan pengusaha makanan Cina yang ingin menembusi pasaran orang Melayu, mereka akan cuba menyesuaikan hidangan mereka berlandaskan peraturan pemakanan Islam untuk menjadikannya Dim Sum Halal. Tidak kurang juga pengusaha tempatan yang meminati masakan Cina juga turut melakukan pengubahsuaian menu.

Ini bermakna, bagi Dim Sum yang kebanyakan resipi asalnya menggunakan daging khinzir, bahan itu perlu digantikan dengan daging ayam atau lembu yang halal. Di Malaysia tidak sukar untuk mencari Dim Sum Halal kerana penduduk beragama Islam adalah majoriti dan kerana wujudnya badan Agama yang memantau isu halal haram di negara ini.

Kini anda sudah tahu asal usul Dim Sum Halal, boleh lah anda mula mencari Dim Sum Halal ini yang berdekatan dengan anda. Anda juga kini boleh menikmati Dim Sum Halal yang autentik di Restoran Hj Sharin Low yang terletak di Avenue K Shopping Mall (bersebelahan dengan KLCC).


References:

1. https://ms.wikipedia.org/wiki/Dim_sum
2. https://ms.wikipedia.org/wiki/Guangdong
3. http://www.dimsum.nl/dim-sum/history/
4. https://id.wikipedia.org/wiki/Momo_(dumpling)

Share

© 2019 Hj Sharin Low Dim Sum. All Rights Reserved